Motivasi: Memandang kepada asal diri.

taken from : http://langitilahi.com/2011/01/03/motivasi-memandang-kepada-asal-diri/#more-188


Dengan mengenali diri, kita akan lebih dekat dengan Ilahi, sekaligus membuatkan kita
mampu melompat dengan lebih tinggi ~ picture by Tengku Fahmi



Kekuatan yang utama datangnya daripada mana?

Saya secara jujurnya, tidak menjumpai jawapan yang paling memuaskan untuk soalan itu, selain daripada Allah SWT. Saya perasan bahawa, perkenalan kita kepada Allah SWT, melahirkan kekuatan yang tidak terhingga. Melahirkan semangat yang tidak mudah goyah, melahirkan keutuhan yang sukar untuk dirapuhkan.

Namun bagaimanakah untuk mencapai kekuatan itu? Atau dalam erti kata lain, bagaimanakah hendak mengenali Allah SWT?

Guru saya ada berkata, “Kenalilah Allah, dengan kamu mengenali diri kamu sendiri.”




Melihat semula kepada diri
Adakah kita ini tercipta dengan sendirinya?

Tidak. Kita datang daripada rahim ibu kita. Ibu kita datang daripada mana? Dia datang daripada rahim ibunya. Dan jawapan yang sama akan kita terima untuk ibu kepada ibu kita, juga untuk ibu kepada ibu kepada ibu kita, dan seterusnya. Hinggalah sampai kepada manusia yang pertama, siapakah yang menciptakannya?

Kita akan melihat, bahawa ada satu kuasa yang paling hebat dan pengetahuanNya adalah yang paling luas, yang menciptakan manusia. Kenapa saya berkata satu kuasa yang paling hebat dan pengetahuanNya yang paling luas? Hal ini kerana, kita kembali kepada sains dan melihat betapa kompleksnya tubuh badan kita.

Kita ada sel yang bilangannya tidak terkira, dan semua sel itu punya peranan dan sistem masing-masing yang kompleks, masing-masing bergerak dan melakukan tugasan masing-masing, tanpa berlanggaran satu sama lain. Belum ditambah pula dengan pelbagai sistem lain, sistem respiratori, sistem interglumentari, sistem pituitari, sistem neuron dan pelbagai lagi sistem, yang masing-masing dengan kompleksnya yang tersendiri, dan semua ini terkumpul dalam satu tubuh manusia.

Belum lagi kita ceritakan hal-hal pancaindera manusia yang unik, kebolehan mendengar, merasa, menghidu, berfikir dan sebagainya. Persoalan pertama yang patut muncul adalah, “Adakah wujud pencipta lain, selain pencipta manusia, yang mampu mencipta satu lagi makhluk seperti manusia?”

Tidak bukan? Hatta robot terhebat juga punya kekurangan.

Nah, kita sebagai mukmin meyakini bahawa, Allahlah Pencipta kita.

Titik pertama sudah kita dapat. Bukankah Allah itu Maha Hebat? Maha Bijaksana? Ya, kita dapat meyakini itu, dengan lebih jelas lagi, apabila kita memerhatikan apa yang telah dibicarakan tadi.

Duduk di bawah lembayungNya, punya ketakutan?

Setelah melihat ‘secebis’ kehebatan Allah SWT tadi, yang menciptakan kita, dan boleh pula mengatur pelbagai ‘makhluk’ lain dalam tubuh kita, pelbagai sistem kompleks di dalam tubuh kita, dan kita sendiri pula menyedari bahawa kita bukan satu-satunya manusia yang ada di atas muka bumi ini, semua itu membuka mata kita.

Perasankah kita, di dalam kehidupan ini, di bawah siapa kita bernaung?

Allah yang menciptakan manusia itu juga bukan?

Jadi, bagaimanakah kita, boleh punya ketakutan terhadap perkara selain Allah SWT, sekiranya kita berada di bawah lembayungNya?

“…Apabila engkau meminta pertolongan, maka mintalah pertolongan dengan Allah. Ketahuilah bahawa kalau umat ini berkumpul untuk memberikan sesuatu manfaat kepadamu, mereka tidak akan mampu memberikanmu manfaat kecuali dengan suatu perkara yang memang Allah telah tentukan untukmu. Sekiranya mereka berkumpul untuk memudharatkan kamu dengan suatu mudharat, nescaya mereka tidak mampu memudharatkan kamu kecuali dengan suatu perkara yang memang Allah telah tentukannya untukmu…”
(Hadith riwayat Tirmidzi)

Tiada apa yang mampu memudaratkan kita. Sebab kita bernaung di bawah Yang Maha Kuasa.

Lihatlah bagaimana Rasulullah SAW, menyedari akan hal ini, dan mempercayainya hingga ke tahap yang tertinggi(yakni tanpa ragu) menyebabkan apabila dia dan Abu Bakr RA bersembunyi di Gua Tsur dan hampir ditemui oleh musyrikin Makkah, Rasulullah mampu menenangkan Abu Bakr RA dengan berkata:

“Wahai Abu Bakr, apakah pandangan kamu, bahawa kita berdua, dan Allah adalah yang ketiganya?”

Allah SWT sendiri menyatakan akan perlindunganNya dalam peristiwa itu:

“Jikalau kamu tidak menolongnya (Muhammad) maka sesungguhnya Allah telah menolongnya (yaitu) ketika orang-orang kafir (musyrikin Mekah) mengeluarkannya (dari Mekah) sedang dia salah seorang dari dua orang ketika keduanya berada dalam gua, di waktu dia berkata kepada temannya: Janganlah kamu berduka cita, sesungguhnya Allah beserta kita. Maka Allah menurunkan ketenangan-Nya kepada (Muhammad) dan membantunya dengan tentara yang kamu tidak melihatnya, dan Allah menjadikan seruan orang-orang kafir itulah yang rendah. Dan kalimat Allah itulah yang tinggi. Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.”
(Surah At-Taubah : ayat 40)

Penutup: Origin yang memberikan kekuatan

Akhirnya kita melihat, kita ini diciptakan oleh Allah SWT, semestinya Allah itu Maha Mengetahui apa yang baik untuk kita. Segala apa yang terjadi, segala apa yang berlaku, semuanya adalah di dalam ilmu Allah SWT, dan pastinya baik kepada kita.

Sebagai hamba, yang kita perlu lakukan adalah berusaha. Berusaha mencapai yang terbaik. Pastinya, selepas itu, segala apa yang berlaku adalah terbaik juga.

Kita tidak perlu takut, kita tidak perlu gusar. Kita ada Allah SWT.

Biasa orang akan menyatakan bahawa, Ibu adalah manusia yang terapat kepada kita. Kerana kita daripada perut Ibu. Maka apatah lagi Allah, yang memberikan NYAWA kepada kita, yang menCIPTAkan kita?

“Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, dan Kami lebih dekat kepadanya dari pada urat lehernya,”
(Surah Qaf : ayat 16)

Memerhatikan ini, tidakkan ke’kuat’an itu hadir dalam kehidupan kita?

0 comments:

Post a Comment